Facebook Fan

Sunday, 1 March 2015

Kaki Cramp! Bagaimana Diri Sendiri Rawat?

Sebelum itu, terlebih dahulu saya akan terangkan informasi berkenaan kaki cramp. Dihujung artikel ini barulah saya berikan tips kerana informasi dan langkah pencegahan lebih memberi manfaat berbanding rawatan pemulihan. 
Kaki cramp membuatkan anda akan berasa kejang dibahagian betis dan berasa kesakitan terutamanya pada sekitar pergelangan kaki. Masalah ini berlaku tidak kira waktu, dan kerap juga berlaku pada waktu malam ketika tidur. Mereka yang menghadapinya akan menyebabkan terjaga dari tidur, tidak mampu bergerak (kaki) dan sudah tentunya mengadu kesakitan. Kesengsaraan ini terpaksa ditanggung dalam tempoh tertentu. Namun kekejangan tidak merosakkan otot betis. 

GOLONGAN BERISIKO
Golongan yang berisiko menghadapi masalah kaki cramp ialah;
  1. Ibu yang mengandung, dimana rahim mula membesar. Berat badan yang meningkat memberi tekanan kepada salur darah pada kaki menyebabkan pergaliran darah tidak sempurna. Mungkin juga badannya kekurangan mineral disebabkan bayi mengambil mineral yang diperlukannya.
  2. Sesetengah kes wanita yang tidak mengandung, tetapi uterus (rahim) memberi tekanan ke atas salur darah besar pada kaki.
  3. Golongan atlit yang melakukan senaman atau pergerakan berlebihan. 
  4. Obesiti juga memberi masalah tekanan urat saraf serta daya tahan otot pada kaki.
  5. Mereka yang kerap berdiri terlalu lama seperti guru.
SEBAB CRAMP



Cramp kaki ini berpunca daripada fungsi otot yang tidak terkawal melalui proses pengecutan (contraction) dan berehat. Biasanya berlaku pada otot gastrocnemius (belakang betis). Terdapat kes berlaku pada otot Extensor Digitorum Longus. Manakala cramp sewaktu berenang sering berlaku pada otot Tibialis Anterior.
Dalam keadaan normal untuk setiap pergerakan kaki, otot akan silih berganti bertukar di antara pengecutan dan berehat. Namun sekiranya pergerakan kaki yang memerlukan otot dalam keadaan berehat, menjadi sebaliknya (kekal mengecut), menyebabkan kekejangan otot berlaku. Itulah sebab otot- otot belakang betis menjadi keras (mengecut) sewaktu kekejangan berlaku. Mangsa akan berasa sengsara dalam hanya beberapa saat hingga kepada beberapa minit, atau mungkin lebih lama daripada itu.

KENAPA OTOT TIDAK BERFUNGSI SEMPURNA
Puncanya otot tidak berfungsi dengan baik berkemungkinan;
  1. Otot mudah letih sama ada sudah lemah atau tidak biasa melakukan aktiviti diluar kebiasaannya.
  2. Gangguan salur darah disebabkan terhimpit atau sebagainya.
  3. Kekurangan air dalam badan 
  4. Kekurangan glukos dan mineral dalam badan seperti kalsium, magnesium, sodium dan potassium.
  5. Pengumpulan lactic acid terlalu banyak dalam otot. Ini berlaku apabila pembakaran glukos tanpa oksigen menyebabkan tenaga dihasilkan bersama lactic acid. 
CARA MENGELAK KAKI CRAMP
Cara mengatasi mengelak masalah kaki cramp untuk golongan berisiko ialah:
  1. Minum air yang mencukupi. Tetapi tidak berlebihan yang boleh mengurangkan garam dalam badan.
  2. Mengambil minuman kesihatan yang mengandungi mineral. Menurut kajian yang dilakukan oleh Bergeron (2008), pengunaan segera minuman karbohidrat- elektrolit yang mengandungi atau ditambah dengan 3.0g garam galian yang diminum sekaligus atau dalam tempoh 5-10 minit terbukti dapat mengatasi masalah kekejangan otot dan mengelakkan dari berulang kembali masalah yang sama.
  3. Makan makananan kesihatan yang mengandungi mineral. Pisang (mengandungi potassium), bijirin, beras perang dan badam pula tinggi magnesium dan juga hasil tenusu memberikan sumber kalsium. 
  4. Pengambilan vitamin B, D dan E. Terdapat kajian perubatan menyatakan vitamin B kompleks mengurangkan kekejangan otot dalam 86% daripada pesakit yang dikaji.
  5. Elakkan wanita hamil berdiri atau duduk sambil menyilang kaki dengan terlalu lama. Biasakan gerakkan sendi pergelangan kaki dan jari. Digalakkan juga berbaring ke sisi kanan untuk mengurangkan tekanan rahim pada urat saraf.
  6. Tidak melakukan pergerakan dengan tempoh lama tanpa berehat
  7. Memulakan “warming up” sebelum bersukan
  8. Bersenam secara konsisten atau dijadikan kebiasaan, supaya dapat memberi daya tahan pada kekejangan.
  9. Mempelbagaikan bentuk senaman.
  10. Melakukan pergerakan yang tidak melampau/lasak
  11. Menyapu minyak/balm panas sebelum melakukan aktiviti riadah. 
  12. Elakkan mandi selepas waktu maghrib.

JIKA BERLAKU CRAMP, APA YANG ANDA BOLEH  LAKUKAN?
Salah satunya mungkin mampu memulihkan anda dari cramp.
  • Menyapu minyak/balm/pad panas pada bahagian otot betis untuk mengurangkan rasa sakit. 
  • Remedi dari India menggunakan dua sudu makan serbuk kunyit dicampurkan dengan sedikit minyak kelapa hingga membentuk struktur tebal. Kemudian sapukan pada bahagian sakit.
  • Lakukan regangan otot seperti dibawah;
    • Berdiri menghadap dinding pada jarak 75 sentimeter (30 inci). Pastikan kaki rata pada lantai, gerakkan tubuh ke depan sambil tangan menahan dinding. Bengkokkan kaki perlahan-lahan. Regangkan kaki setakat mana yang selesa. Tahan posisi regangan itu selama 30 saat dan biarkan kaki seperti biasa. Ulang dua kali atau hingga rasa sakit mula surut. Jadikannya amalan harian juga dapat mencegah cramp. 
    •  Menarik tapak kaki ke arah badan. Jika sukar dilakukan, rakan anda boleh membantu.


  • Cuba berjalan menggunakan hujung tapak kaki  seperti menjungkit.

  • Tekan titik berkaitan dengan hati seperti dibawah. Salah satu sebab ialah kegagalan hati berfungsi dengan baik. Boleh dijadikan amalan sebagai langkah pencegahan. (wanita hamil tidak digalakkan)
  • Urut pada otot betis iaitu dari belakang (lipatan) kepala lutut hingga ke tengah perut betis. Elakkan urut di tendon tumit bagi mengelak berlakunya kecederaan lain.

    Kalau tidak pulih-pulih juga dari kesakitan cramp atau membengkak, eloklah jumpa doktor atau pakar terapi. Akupuntur juga boleh memulihkan masalah kerap cramp dengan mencucuk pada titik-titik tertentu di atas otot yang terlibat.

    * Untuk masalah kekejangan kaki sewaktu berenang, sila baca artikel ini ;
    http://urutanqun.blogspot.com/2014/09/kejang-kaki-sewaktu-berenang.html


    4 comments: