Facebook Fan

Wednesday, 13 February 2013

19 Punca Sakit Selepas Urutan

Masalah panas-panas badan (suhu badan naik seperti hendak demam), gatal-gatal dan rasa denyutan pada titik yang sakit adalah perkara biasa yang boleh berlaku selepas diurut oleh mana-mana terapis urut. Sebenarnya ianya adalah proses melincirkan perjalan darah yang sudah lama tidak teratur dan mengeluarkan toksik-toksik dalam badan. Yang penting pesakit akan berasa lebih segar dan selesa selepas diurut.
Namun di sesetengah kes pula, berlaku sebaliknya apabila ada yang mengadu demam dan ketegangan urat berhari-hari. Masalah ini tidak berlaku semasa diurut tetapi berlaku selepas beberapa jam atau keesokan harinya. Tidak semestinya berpunca daripada kesilapan atau kelalaian mana-mana terapis urut. Biasanya punca-punca sakit selepas diurut berkait rapat dengan perihal berikut;
  1. Bagi mereka yang pertama kali pergi berurut atau tidak menjadi kebiasaan, kebarangkalian boleh menyebabkan demam dan panas-panas badan. Ini disebabkan oleh kejutan pada urat dan otot yang tidak pernah menerima urutan sebelum ini.
  2. Makan makanan berat sebelum urutan akan menyebabkan adanya implikasi semasa dan selepas urutan. Pesakit hendaklah memaklumkan kepada terapis sekiranya sedang kekenyangan atau baru makan. Sekurang-kurangnya berehat 30minit-1jam (bergantung kepada nasihat terapis) sebelum urutan dimulakan. 
  3. Pesakit dalam keadaan teramat letih/lemah. Pesakit perlulah berehat terlebih dahulu sebelum memulakan urutan.
  4. Kurang minum air suam/kosong selepas menjalani urutan. Pesakit hendaklah minum air kosong sebanyak dua atau tiga gelas selepas urutan, melainkan diatas sebab-sebab tertentu yang tidak dibenarkan mengikut nasihat doktor. Jika pesakit hanya boleh minum dengan kuantiti yang sedikit, terapis hendaklah mengurut secara perlahan dan ringkas sahaja. Minum air suam separuh/segelas sebelum urutan juga digalakkan.
  5. Mengurut secara detail di bahagian yang tidak sakit seperti seolah-olah bahagian tersebut mengalami masalah. Memadai (jika perlu) dengan mengurut secara ringkas dibahagian(punca) yang tidak sakit.
  6. Mengurut secara mendalam (deep massage) secara radikal dalam satu sesi boleh menyebabkan pesakit akan berambah rasa sakit. Sedangkan proses "deep massage" memerlukan sekurang-kurangnya 3 sesi (sesi regangan otot/melemaskan urat - sesi urutan/pembetulan urat - sesi pelarasan). 3 sesi biasanya dilakukan dengan selangan hari, bukannya 3 hari berturut-turut. Jika masalah mereka dapat diatasi dengan 1 sesi dianggap bonus bagi pesakit. Jika pesakit itu hanya sekadar lenguh-lenguh badan, terapis boleh mengurut dalam 1 sesi sahaja.  
  7. Mengurut terlalu lama atau berulangkali di bahagian anggota badan yang sama. Tempoh urutan paling maksima ialah 15 minit sahaja untuk satu bahagian anggota badan. 
  8. Sekiranya pesakit mengalami penyakit-penyakit seperti sakit buah pinggang, jantung, kencing manis, sakit kuning, barah, hernia perut, kecederaan tulang belakang, tulang patah atau reput (osteoporosis) hendaklah diurut perlahan pada setiap titik/bahagian anggota badan.
  9. Tekanan darah yang terlalu tinggi tidak digalakkan mendapatkan urutan kerana bahayanya boleh menyebabkan salur darah terputus atau pecah.
  10. Mengurut pada bahagian bengkak seperti masalah Gout boleh menyebabkan berlaku radangan.
  11. Mengurut di bahagian baru luka, ruam, patah, darah beku atau jangkitan virus yang boleh merebak masalah jangkitan sedia ada.
  12. Mengurut di bahagian bengkak/lebam secara langsung menyebabkan rasa perit. Memadai disapu sahaja dan urut dibahagian lain (tidak membengkak) yang berkaitan. Kalau baru saja membengkak boleh dibenarkan urut perlahan dibahagian tersebut.
  13. Urutan keras dibahagian sistem kelenjar seperti bahagian pituitari, tiroid, paratiroid, adrenal dan sebagainya. Urutan hendaklah dibuat secara berhati-hati dan mempunyai teknik urutan.
  14. Urutan tidak digalakkan kepada mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan, kemoterapi dan sebarang rawatan beradiasi tanpa merujuk kepada doktor.
  15. Terapis tidak sepatutnya melakukan urutan (termasuk refleksi) pada 13 minggu pertama kehamilan pesakit perempuan kerana terdapat risiko terjadinya keguguran (jika berlaku kesilapan).
  16. Pesakit yang dirawat dengan kaedah refleksi kadang-kadang mengalami sakit pinggang atau punggung selepas urutan. Kesan ini bukan satu masalah kerana ianya merupakan proses rawatan perlancaran darah dan memerlukan urutan berterusan.
  17. Melakukan banyak pergerakan regangan fizikal. Urutan yang banyak melibatkan regangan fizikal seperti Royal Thai dan sebagainya boleh menyebabkan demam/ketegangan pada keesokan harinya. Ini disebabkan oleh otot dan urat pesakit perlu menyesuaikan perubahan yang berlaku pada badan, kemudiannya pesakit akan berasa ringan dan lega. Bagaimanapun kesan ini bukan semestinya berlaku. 
  18. Melakukan regangan fizikal di bahagian sendi/ tulang sehingga terdengar geseran tulang (bukan bunyi pop/prop/krekk). Jika berlaku hendaklah tidak diteruskan urutan dibahagian sendi tersebut kerana rawatan seperti ini tidak perlu. 
  19. Mengabaikan nasihat terapis berkenaan pencegahan susulan. Kadang-kadang terdapat terapis memberi nasihat seperti memerlukan bekam segera, memakai body support, plaster kesihatan, pemakanan atau sebagainya. Mungkin ada sebab perlu diamalkan selepas urutan.
Pesakit seharusnya berterus terang kepada terapis sekiranya ada masalah diri yang perlu diambil kira, seperti alahan, masalah jantung, buah pinggang, kanser, kencing manis dan sebagainya. Berkomunikasi dengan terapis urut juga penting jika pesakit mahu mengurangkan rasa sakit ketika diurut. Urutan sepatutnya tidak menyakitkan, walaupun ia kadangkala mungkin perit. Jika mengalami kesakitan yang amat sangat semasa urutan, mungkin ada kebarangkalian menyebabkan kesakitan pada hari keesokannya. Sebaik-baiknya hubungi terapis yang berkenaan sekiranya sakit berulang atau bertambah sakit. 

No comments:

Post a Comment